fb fb fb fb fb

FAMA Perlis laksana 30 Jualan Agro MADANI hingga Mac tahun depan

Jualan Agro MADANI telah bermula pada 24 Julai lalu di Perkarangan Pejabat FAMA Negeri Perlis dengan mencatatkan nilai jualan sebanyak RM19,000

KANGAR, 26 Julai -Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis telah melaksanakan 30 kali Jualan Agro MADANI bermula Julai tahun ini hingga Mac 2026.

Inisiatif itu memudahkan pengguna mendapatkan barangan keperluan dengan harga berpatutan seterusnya membantu mengurangkan kenaikan kos sara hidup rakyat negeri itu.

Pengarah FAMA Perlis Mohd Anzara Azizan dalam kenyataan berkata, pelaksanaannya melibatkan lokasi di kawasan perumahan dan penduduk, kompleks kerajaan serta outlet peruncitan FAMA seluruh Perlis.

FAMA juga bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) untuk menjadikan perkarangan masjid sebagai salah satu lokasi Jualan Agro MADANI.

"Nilai jualan yang disasarkan untuk pelaksanaan ialah sebanyak RM450,000 melibatkan 450 usahawan bagi komoditi seperti daging, ayam, ikan dan hasil laut serta sayur-sayuran," katanya menerusi kenyataan itu.

"Daripada segi nilai penjimatan untuk pelaksanaan Jualan Agro MADANI ini dijangkakan sebanyak RM135,000 dan memberi manfaat kepada 60,000 orang isi rumah di Perlis," katanya menerusi kenyataan itu.

Program rintis Jualan Agro MADANI telah bermula pada 24 Julai lalu di Perkarangan Pejabat FAMA Negeri Perlis dengan mencatatkan nilai jualan sebanyak RM19,000 dengan penglibatan seramai 35 orang usahawan yang memberi manfaat kepada 6,000 isi rumah di kawasan sekitar.

TETITIA YUSOFF