SHAH ALAM, 26 Julai -Program Malam Cinta Rasul yang menggunakan pendekatan seni suara, irama dan suasana yang mendamaikan wajar diperluas dan disemarakkan oleh umat Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, program seperti itu mampu mengisi kekosongan jiwa dalam kalangan anak muda, sekali gus membawa kepada perubahan diri berpandukan semangat dan akhlak Rasulullah SAW.
"Kalau kita tidak ada program seperti Malam Cinta Rasul ini sudah tentu anak-anak kita akan mencari kaedah lain untuk mengisi ketenangan mereka. Kita akan sentiasa memberikan sokongan dan kepada usaha-usaha program yang mengajak masyarakat dan rakyat kearah kebaikan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Malam Cinta Rasul bersempena Karnival Dan Konsert Gendang Nusantara 2025, di sini.
Hampir 1,000 umat Islam telah hadir mengimarahkan majlis itu termasuklah para pelajar tahfiz. Selain persembahan Qasidah dan lagu-lagu selawat daripada kumpulan Aeydan serta Rabbani turut diadakan Tausiyah bersama PU Hafiz dan Dr. Syeikh Omar Kalash Al-Hussainyy.
Sementara itu orang ramai dijemput hadir memeriahkan Konsert Gendang Nusantara malam ini di Dataran Kemerdekaan Shah Alam bersama artis jemputan Kumpulan Rabbani, Aeydan serta Hafiz Hamidun.