fb fb fb fb fb

Kerajaan ambil pendekatan proaktif seimbang bantuan, ekonomi

Pensyarah Kanan Ekonomi, Fakulti Pengurusan Perniagaan UITM Cawangan Negeri Sembilan Dr Bashir Ahmad Shabir Ahmad

KUALA LUMPUR, 26 Julai -Pendekatan proaktif telah diambil kerajaan bagi memastikan keseimbangan antara penyaluran bantuan kepada rakyat dan kestabilan ekonomi.

Pensyarah Kanan Ekonomi, Fakulti Pengurusan Perniagaan UITM Cawangan Negeri Sembilan Dr Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, setiap bantuan dan subsidi yang diumumkan kerajaan dibuat berdasarkan kajian termasuk mengambil kira kemampuan fiskal negara.

"Apabila kerajaan mahu memberikan sesuatu, mereka telah mengkaji, telah melihat kepada kekuatan kewangan yang ada maknanya mampu atau tidak. Jadi, saya melihat salah satu aspek di mana kerajaan boleh mendapat wang ini adalah di mana kita dapat buat masa ini harga minyak itu pada harga agak rendah.

"Jadi, apabila harga minyak itu pada harga agak rendah, jadi kerajaan tidak mengeluarkan subsidi agak tinggi untuk menampung harga-harga minyak pasaran dunia. Jadi, saya andaikan lebihan duit daripada situ itu yang kerajaan dapat gunakan untuk disalurkan kembali kepada masyarakat," katanya kepada pemberita di Angkasapuri Kota Media.

Dr Bashir turut berpandangan inisiatif yang dilaksana menerusi pengumuman baru-baru ini tidak hanya memanfaatkan kumpulan B40, malah memberi impak positif terhadap kumpulan pertengahan iaitu M40. Ia sekali gus, menghasilkan kesan berganda (multiply-effect) terhadap pasaran domestik.

"RM100 one-off payment itu yang memberikan implikasi kewangan sehingga RM2.2 bilion. Jadi, RM2.2 bilion ini kalau kita salurkan kepada pasaran. Katakan 80% yang kita gunakan untuk spend dan belanja, sekurang-kurangnya dia boleh generate kepada RM5 bilion hingga RM6 bilion. Jadi, kita boleh bayangkan seolah-olah hampir RM5 hingga RM6 bilion wang yang kita salurkan kepada dalam pasaran.

"M40 juga dapat tempias daripada sebab satu, tol itu kita tahu kan, tol ini sepatutnya dia naik harga tapi ia ditahan pada peringkat ini. Jadi, kerajaan terpaksa memperuntukkan RM500 juta untuk menanggung kos itu. Dan kita tahu, golongan M40 ini pun banyak travel. Maka, ini akan memberi manfaat pada mereka," katanya.

TETITIA YUSOFF