KUALA LUMPUR, 28 Mac- Sempena Aidilfitri, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengingatkan pembayar cukai untuk menyemak dan melunaskan tunggakan bagi mengelakkan sekatan perjalanan ke luar negara.
Menurut satu kenyataan, LHDN memaklumkan sekatan itu dikenakan mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976. Individu yang gagal menjelaskan cukai tertunggak boleh disekat oleh Jabatan Imigresen Malaysia sehingga bayaran penuh dibuat atau rundingan dilakukan dengan LHDN.
"Pembayar cukai boleh menyemak tunggakan dan memohon pembatalan sekatan melalui MyTax (mytax.hasil.gov.my), manakala semakan sekatan perjalanan boleh dilakukan di portal Imigresen (sspi.imi.gov.my/sspi).
"Untuk maklumat lanjut, layari www.hasil.gov.my atau hubungi Hasil Contact Centre di talian 03-8911 1000," menurut kenyataan tersebut.