PUTRAJAYA, 28 Mac- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak bertanggungjawab menghina Nabi Muhammad SAW di media sosial.
Dalam satu kenyataan, beliau menegaskan bahawa perbuatan seperti itu bukan sahaja mencetuskan sensitiviti agama, malah boleh dikenakan tindakan undang-undang.
"Islam sebagai agama Persekutuan harus dihormati, dan mana-mana pihak yang cuba menimbulkan ketegangan melalui penghinaan agama akan berdepan tindakan sewajarnya," katanya.
Beliau turut menekankan bahawa meskipun rakyat Malaysia seharusnya memahami kepentingan menjaga keharmonian kaum dan agama, masih terdapat insiden penghinaan seperti ini berlaku.
Sehubungan itu, agensi bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus memperhebat program kesedaran masyarakat agar orang ramai lebih berwaspada dalam menggunakan media sosial dan menjaga sensitiviti agama.