fb fb fb fb fb

LLM, konsesi lebuh raya bersedia hadapi peningkatan trafik Aidilfitri

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, hari ini meninjau aliran trafik di lapangan sempena perayaan Aidilfitri di Kawasan Rawat dan Rehat (RNR) Jejantas Sungai Buloh / BERNAMA

SUNGAI BULOH, 28 Mac- Tahap kesiapsiagaan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi lebuh raya berada pada tahap terbaik bagi menghadapi peningkatan trafik sempena Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berharap semua pihak yang terlibat melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya bagi memastikan keselamatan serta keselesaan pengguna lebuh raya.

"Saya diberi taklimat tadi oleh PLUS dan juga LLM. Tahap kesiapsiagaan memang kita pastikan dia pada tahap yang terbaik," katanya.

Selain itu, beliau turut mengingatkan bahawa pasukan ronda ‘Emergency Response Team (ERT)’ perlu memastikan tempoh tindak balas yang pantas dalam memberikan bantuan sekiranya berlaku sebarang insiden di lebuh raya.

Bagi melancarkan perjalanan pengguna, kerajaan mengumumkan diskaun tol 50 peratus selama dua hari, selain menghadkan pergerakan kenderaan berat dalam tempoh tersebut.

"Kita dah umumkan 50% diskaun untuk dua hari dan juga JPJ dah menghadkan kenderaan berat untuk tidak dibenarkan dalam dua hari. Dan juga kita arahkan apa-apa kerja yang bukan kecemasan dihentikan dari 24 Mac hingga 7 April. Ini untuk kita mengurus supaya jalan ini selamat dan selesa," tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Alexander turut menyentuh isu kenderaan berat yang membawa muatan melebihi had dibenarkan, yang menjadi antara punca utama kerosakan jalan raya.

"Kenderaan berat adalah satu punca yang jelas merosakkan jalan kita. Sebab itu kita ada had muatan, tapi walaupun kita ada had muatan tapi mereka masih ada yang melanggar peraturan kita."

Menurut beliau, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi membincangkan kaedah menangani isu had muatan itu secara menyeluruh bersama Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Pengangkutan (MOT).

"Ada perbincangan KSU dan pegawai lain bersama KSU MOT dan agensi berkaitan duduk bersama, ahli jawatankuasa khas untuk kita bincang bagaimana menangani masalah had muatan ini dan merosakkan jalan," katanya lagi.

Datuk Seri Alexander berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan trafik di Restoran Jejantas Sungai Buloh (Arah Utara).

LLM menjangkakan jumlah trafik sempena musim perayaan kali ini akan meningkat kepada 2.77 juta kenderaan sehari di lebuh raya utama negara.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE