fb fb fb fb fb

Suasana membeli-belah Aidilfitri semakin meriah di Kuching

FOTO RTM

KUCHING, 28 Mac- Menjelang Aidilfitri, pusat beli-belah dan bazar raya di seluruh Sarawak semakin sesak dengan kehadiran orang ramai yang mengambil kesempatan membeli keperluan perayaan.

Gedung beli-belah di Lebuh India, Kuching, kekal menjadi tumpuan utama dengan pelbagai promosi istimewa ditawarkan. Tinjauan mendapati rata-rata pembeli memanfaatkan potongan harga bagi pakaian tradisional, kasut, aksesori, serta kelengkapan rumah.

Seorang pengunjung, Rasida Razali, berkongsi keterujaannya meskipun cuaca panas.

"Mesti mahu merasakan kemeriahannya. Walaupun panas, tetap redah juga. Macam biasa, harga semakin murah dan banyak barangan baharu serta mengikut trend dikeluarkan. Memang berbaloi," katanya.

Bantuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak turut membantu pembeli mengurus bajet perbelanjaan mereka.

"Secara jujurnya, saya sangat berterima kasih. Dengan perancangan yang baik, setakat ini persiapan sudah siap hampir 70 peratus," ujar seorang lagi pengunjung, Rogayah Jahwie.

Kaedah pembayaran digital semakin diterima, memudahkan transaksi tanpa tunai serta mengurangkan kesesakan di kaunter bayaran.

"Dalam dua tahun kebelakangan ini, kami mula menggunakan kod QR untuk memudahkan pelanggan yang tidak membawa wang tunai," kata peniaga, Nur Rasyidah Usup.

Namun, ada peniaga yang masih berhati-hati menerima pembayaran e-dompet kerana risiko penipuan.

"Dalam perniagaan seperti ini, kami tetap berwaspada. Ada kes pelanggan kata duit sudah masuk, tetapi bila semak dalam bank, tiada transaksi diterima. Sebab itu kami agak keberatan menggunakan kod QR, tetapi kadang-kadang, melihat kesulitan pelanggan, kami tetap terima juga," kata Zaiton Poza.

Dengan Aidilfitri semakin hampir, aktiviti jual beli dijangka terus rancak, memberikan manfaat kepada peniaga dan pembeli yang mahu mendapatkan tawaran terbaik.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE