fb fb fb fb fb

Letusan gunung berapi Mayon, Filipina tingkatkan status amaran

(Kepulan asap putih dilihat di gunung berapi Mayon, Filipina/AFP)

MANILA, 8 Jun- Para saintis Filipina berkata letusan gunung berapi Mayon di Wilayah Albay, Filipina dijangka berlarutan selama beberapa hari atau beberapa minggu lagi.

Beratus-ratus keluarga yang tinggal di sekitar Gunung Mayon di wilayah tengah Albay dijangka dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat selepas Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina meningkatkan status amaran.

Gunung Mayon yang terletak kira-kira 330 kilometer (km) tenggara ibu kota Manila, dianggap sebagai satu daripada 24 gunung berapi aktif di negara berkenaan.

Agensi seismologi berkata pemantauan terhadap tiga aliran lava akibat letusan abu gunung berapi, batu dan gas di lereng gunung Mayon berkenaan dikenali sebagai arus ketumpatan piroklastik (PDC).

"Terdapat peningkatan aliran lava dan PDC berbahaya dan potensi aktiviti letupan dalam beberapa minggu atau bahkan beberapa hari", kata agensi itu.


(Gunung berapi Mayon mengeluarkan asap putih di Bandar Legaspi
Wilayah Albay pada 7 Jun 2023/AFP)

Institut Vulkanologi dan Seismologi meningkatkan status amaran daripada tahap dua kepada tahap tiga dalam skala lima tahap.

Pegawai agensi pengurusan bencana Wilayah Albay, Eugene Escobar, berkata semua persiapan sedang dilakukan dan penduduk akan dipindahkan dari perkampungan Anoling yang terletak di lereng gunung berapi tersebut.

Gunung Berapi Taal yang terletak kira-kira 50 kilometer dari selatan Manila melepaskan gas sulfur dioksida pada minggu ini. Gas beracun itu menyelubungi kawasan sekitar, memaksa penduduk kekal berada dalam rumah.

Status amaran tahap satu dikuatkuasakan, selepas gunung berapi berkenaan memuntahkan wap tebal setinggi dua kilometer.

Lima tahun lalu, puluhan ribu penduduk dipindahkan selepas Mayon memuntahkan berjuta-juta tan abu, batu dan lava.

Letupan paling kuat dalam beberapa dekad kebelakangan ini ialah letusan Gunung Pinatubo pada 1991, kira-kira 100 kilometer (62 batu) barat laut Manila yang mengorbankan lebih 800 orang.- AFP

Media Baharu