fb fb fb fb fb

Lencana Jalur Gemilang dicadang diperluas ke Tabika dan Taska Perpaduan

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang

SUNGAI PETANI, 22 April - Kementerian Perpaduan Negara mencadangkan agar pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam sekolah turut diperluaskan kepada Tabika dan Taska Perpaduan di seluruh negara.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata, cadangan tersebut bertujuan meningkatkan semangat patriotisme dan cinta kepada negara di peringkat awal.
 
"Boleh…boleh dicadangkan, tiada masalah, ia akan memupuk dan meningkatkan semangat patriotisme kepada negara," kata Aaron kepada pemberita selepas merasmikan Program Jom Baca Bersama 10 Minit sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia di sini. Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi Baucar Buku Semarak Membaca, tahun ini.
 
Ketika ini, seramai 34,644 murid sedang mengikuti sesi pengajian peringkat awal di 781 Tabika Perpaduan dan 990 murid di Taska Perpaduan seluruh negara.

Mengulas lanjut, Aaron turut menggalakkan sektor awam dan swasta turut sama-sama menyahut seruan kerajaan bagi melaksanakan pemakaian lencana Jalur Gemilang di pakaian seragam masing-masing.
 
Semalam, semua murid sekolah dibawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mula memakai lencana Jalur Gemilang di pakaian seragam sekolah masing-masing.

Dalam pada itu Aaron berkata, institusi perpustakaan perlu lebih menyerlah dan menonjolkan kepentingannya sebagai pemangkin kepada kemajuan ekonomi, politik, sosial, pendidikan dan kebudayaan negara.

Perpustakaan sebagai gedung ilmu mempunyai peranan yang amat signifikan dalam membangunkan sesebuah negara.

“Kini terdapat 1,076 perpustakaan desa yang memberikan perkhidmatan kepada rakyat Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah,” katanya.

Beliau berkata daripada jumlah keseluruhan itu, 506 perpustakaan di bawah seliaan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), manakala 570 lagi di bawah negeri.

“Ini tidak termasuk perpustakaan universiti, perpustakaan awam negeri, perpustakaan di agensi kerajaan dan termasuklah pusat sumber sekolah yang keseluruhannya berjumlah 13,674 buah," katanya lagi.

Aaron Ago berkata budaya membaca perlu dijadikan sebagai satu gaya hidup dalam kalangan rakyat kerana ia adalah langkah pertama kepada segala kemajuan dan menjadikan manusia lebih berdaya maju serta matang dari segi pemikiran.

TETITIA YUSOFF