fb fb fb fb fb

Lelaki warga Taiwan maut, terjatuh di landasan LRT

Foto JBPM Selangor

KUALA LUMPUR, 3 Jun- Seorang lelaki warga Taiwan maut selepas dipercayai terjatuh ke landasan Transit Aliran Ringan (LRT) di Stesen Pusat Bandar Puchong, petang tadi.

Mangsa dikenal pasti sebagai Chang Li-Chung, 60 tahun.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut pada pukul 6.05 petang.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya dikerah ke lokasi kejadian.

“Setibanya anggota di lokasi, terdapat seorang lelaki lingkungan umur 60 tahun berada di bawah LRT dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disyaki telah meninggal dunia,” kata Ahmad Mukhlis dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata operasi mengeluarkan mangsa sedang dijalankan melibatkan tujuh anggota dan sebuah jentera Fire Rescue Tender.

Dalam pada itu, RapidKL menerusi Facebooknya memaklumkan bahawa kerja-kerja menyelamatkan mangsa telah selesai dijalankan.

Justeru, perkhidmatan alternatif yang disediakan seperti laluan tren dan bas akan ditamatkan, menjelang pengoperasian semula Laluan LRT Ampang/Sri Petaling yang akan dimaklumkan kelak.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM