fb fb fb fb fb

Tajaan MARA bukan bantuan kewangan semata-mata - TPM Zahid

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada majlis makan malam bersama pelajar Malaysia di UK./FB Zahid Hamidi

LONDON, 3 Jun - Inisiatif tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) kepada golongan pelajar bukan bantuan kewangan semata-mata, sebaliknya satu bentuk kepercayaan dan pelaburan intelektual jangka panjang oleh kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, setiap sen yang dibelanjakan disertai harapan untuk melahirkan ilmuwan tempatan terutamanya dalam bidang kritikal.

Ia termasuk kejuruteraan, teknologi maklumat, bioperubatan, kewangan dan sains alam sekitar.

"Secara peribadi, saya berbangga dengan anak-anak Malaysia ini. Mereka adalah 'critical mass of global minds' yang akan membawa Malaysia ke tahap lebih tinggi.

"Insya-ALLAH, dengan sokongan dan kepercayaan berterusan, kelak mereka akan menyumbang kepada negara sebagai pimpinan Kerajaan, ahli akademik, korporat, teknokrat dan usahawan yang akan mencorak masa depan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam bersama pelajar Malaysia di United Kingdom (UK).

Majlis berlangsung di Kensington, London itu bersempena lawatan rasmi empat hari ke UK dihadiri pelajar Malaysia dari pelbagai universiti.

Beliau berkata, perjumpaan itu merupakan momen sangat bermakna apabila dapat melihat sendiri wajah-wajah anak muda yang penuh semangat dan berjiwa besar.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid juga mendoakan urusan pelajar Malaysia di UK sentiasa dipermudahkan.

"Semoga anda semua berjaya menamatkan pengajian masing-masing dan kembali menyumbang bakti kepada tanah air tercinta," katanya.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN