KUALA LUMPUR, 3 Jun- Semangat kepedulian yang dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menerusi inisiatif Kembara Diraja memberi inspirasi kepada semua pemimpin dan seluruh agensi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Na'im Mokhtar berkata, kementeriannya menjunjung titah dan hasrat baginda untuk menyantuni golongan asnaf di Wilayah Persekutuan.
Justeru, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan semua agensi berkaitan akan bekerjasama rapat bagi merealisasikan hasrat baginda sekali gus mencapai objektif program.
Antaranya, menyampaikan zakat secara terus kepada golongan fakir dan miskin, menilai keperluan sebenar rakyat melalui pendekatan turun padang serta mengukuhkan hubungan antara institusi diraja dan rakyat jelata.
Terdahulu, titah bersejarah itu disampaikan oleh Seri Paduka Baginda dalam Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Sempena Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Baginda, 2 Jun lalu.
Beliau juga berharap pemerintahan baginda diberkati Allah SWT, diberi kekuatan dan ilham dalam memayungi negara dan rakyat ke arah mencapai rahmat kesejahteraan bersama.