MUKAH, 18 Julai – Seorang lelaki warga Pakistan maut selepas motosikal yang ditungganginya dihempap sebatang pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Besar Kampung Penat, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Nicholas Belulin memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.04 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 13 kilometer dari balai.
Sebaik tiba di lokasi pada pukul 9.18 malam, pasukan penyelamat mendapati seorang lelaki dewasa telah dihempap sebatang pokok besar yang turut menghalang laluan jalan raya.
Mangsa dikenali sebagai Muhammad Ishaq, 43 tahun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Bagi melancarkan semula aliran trafik, anggota bomba menggunakan gergaji berantai untuk memotong serta membersihkan pokok yang tumbang.
Operasi dikawal sepenuhnya pada pukul 9.57 malam dan ditamatkan pada pukul 10.05 malam selepas laluan disahkan selamat untuk semua pengguna jalan raya.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.