fb fb fb fb fb

Lawatan kerja fokus demi rakyat dan negara

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi/Foto RTM

WELLINGTON, 18 Julai - Kekal fokus dalam setiap lawatan kerja yang dijalankan dan terus memberi khidmat demi rakyat dan negara.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi komited, meski berdepan persepsi negatif sesetengah pihak, matlamat utamanya untuk menimba ilmu, berkongsi pengalaman serta meneroka bidang baharu yang boleh dimanfaatkan bersama.

"Jika mahu menilai sesuatu yang baik, tanyalah kawan. Tetapi jika ingin tahu pandangan tentang sesuatu yang buruk, tanyalah musuh. Musuh tidak akan melihat kebaikan walaupun perkara itu jelas bermanfaat, walau apa sahaja yang dilakukan tetap akan dipandang negatif.

"Dalam dunia politik, sindiran adalah perkara biasa, sama ada melibatkan Timbalan Perdana Menteri mahupun Perdana Menteri yang menjalankan tugas di luar negara. Namun begitu, sindiran seperti ini tidak seharusnya dilayan atau diperbesarkan.

"Apa yang lebih utama dalam lawatan rasmi atau lawatan kerja adalah hasil yang dibawa pulang, sama ada dalam bentuk ilmu, pengalaman, atau penerokaan bidang baharu yang belum wujud di negara kita, tetapi berpotensi untuk dimajukan dan dimanfaatkan demi kepentingan negara," katanya pada sidang media rangkuman lawatan kerja selama lima hari ke New Zealand, di Wellington.

Turut hadir dalam lawatan tersebut, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Mazita Marzuki serta Setiausaha Bahagian Kemboja, Vietnam, Laos, Myanmar dan Oceania Kementerian Luar, John K Samuel.

Lawatan lima hari ke New Zealand melibatkan pelbagai pengisian penting termasuk pertemuan dengan pemimpin kanan negara itu, pengukuhan kerjasama dalam sektor halal, pendidikan, pengurusan bencana dan pemerkasaan komuniti Orang Asli.

Perkara tersebut juga berjaya membuka lembaran baharu kerjasama strategik antara Malaysia - New Zealand dalam pelbagai bidang, termasuk pendidikan, industri halal, pengurusan bencana serta pemerkasaan komuniti pribumi. 

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN