WELLINGTON, 18 Julai - New Zealand menyatakan hasrat untuk meningkatkan eksport nanas Malaysia susulan permintaan tinggi pasaran buah tropika itu di negara tersebut.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, nanas Malaysia memiliki keistimewaan tersendiri, selain dilihat mampu membuka potensi besar untuk dieksport secara lebih meluas ke pasaran antarabangsa.
"Permintaan nanas sangat tinggi, namun kemampuan pengeksportan kita masih terbatas. Walaupun begitu, empat EXCO kerajaan negeri yang mengikuti rombongan saya akan berusaha gigih untuk memperluaskan penanaman nanas ini," ujar beliau.
Tambah beliau, perkara itu akan diperhalusi bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), kerajaan negeri serta pengusaha tani di Malaysia.
Empat Exco yang dipertanggungjawabkan memperluas tanaman berkenaan berskala besar melibatkan kerajaan negeri Selangor, Pahang, Johor dan Melaka.