(FOTO KPDN)
ALOR SETAR, 2 Mac - Tindakan mencurigakan sebuah kenderaan pacuan empat roda berpendaftaran Thailand yang berulang-alik mengisi diesel di stesen minyak yang sama akhirnya terbongkar selepas pemandu terbabit didapati mengisi diesel subsidi melebihi kuantiti yang dibenarkan.
Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Affendi Rajini Kanth menerusi kenyataan berkata pasukan penguatkuasa bertindak mengekori kenderaan tersebut dan didapati membuat pengisian secara berulang di sebuah stesen minyak di Changlun bermula pukul 7.30 pagi hingga 8.30 pagi semalam.
Susulan itu katanya, pemandu kenderaan terbabit iaitu seorang lelaki warganegara Thailand berumur lingkungan 50-an ditahan dan telah direman selama empat hari bermula semalam.
(Pemandu warga asing ditahan selepas mengisi minyak diesel subsidi melebihi kuantiti dibenarkan/Foto KPDN)
Diesel yang dirampas dianggarkan bernilai RM129 manakala rampasan keseluruhan termasuk kenderaan berjumlah RM89,000.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Eksport) 2011.