fb fb fb fb fb

Lelaki serang anggota polis, maut ditembak

MACHANG, 25 September - Seorang lelaki maut ditembak selepas cuba menyerang anggota polis menggunakan senjata tajam dalam kejadian di Kampung Joh, Labok, Machang, Kelantan awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Polis (DCP) Mohd Ali Tamby dalam satu kenyataan media berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi ketika anggota bertugas bergerak ke lokasi berkenaan selepas menerima aduan awam.

Beliau berkata, menyedari kehadiran pihak polis, kereta berwarna putih yang dinaiki dua lelaki memecut melarikan diri ke arah Kota Bharu sebelum dikejar kereta peronda polis.

Katanya, ketika mengejar, turut berlaku beberapa kali perlanggaran antara kereta suspek dan kereta peronda polis sebelum kenderaan suspek terbabas ke kanan jalan di kawasan Kampung Labok.

Menurutnya, ketika anggota peronda turun untuk membuat pemeriksaan, pemandu kenderaan terbabit keluar menyerang anggota polis dengan senjata tajam.

Disebabkan amaran yang diberikan tidak diendahkan, anggota polis bertugas bertindak melepaskan beberapa das tembakan kearah kaki suspek untuk mempertahankan diri.

Suspek bagaimana pun berlari ke arah kenderaan peronda polis sebelum melarikan kenderaan tersebut manakala rakan suspek berusia 43 tahun berjaya ditangkap di lokasi kejadian.

(Kenderaan milik penjenayah diperiksa polis)

DCP Mohd Ali berkata lagi, kenderaan peronda yang dilarikan telah dijumpai di tepi jalan di kawasan Pulai Chondong kira-kira 4 kilometer dari lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan mendapati suspek meninggal dunia di kerusi pemandu kereta peronda tersebut.

Mayat dihantar ke Hospital Machang untuk bedah siasat dan hasil pemeriksaan mendapati suspek yang berusia 33 tahun itu mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.

Siasatan lanjut mendapati sebelum kejadian kedua suspek terlibat dalam kegiatan mencuri lembu di kawasan Kampong Joh, Labok, Machang ekoran terdapat seekor lembu yang baru disembelih di lokasi tersebut.

Pemeriksaan ke atas kenderaan suspek telah menjumpai peralatan mencuri lembu seperti beberapa utas tali, picagari yang mengandungi cecair dipercayai ubat pelali, sebilah parang, pisau, pengasah dan dokumen pengenalan diri milik 1 lelaki Cina beralamat di Sungai Besar, Selangor.

Kes disiasat mengikut seksyen 307, 379, 379A, 186 Kanun Keseksaan dan 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Media Baharu