IPOH, 30 Mei- Seorang warga emas berusia 71 tahun ditemukan maut dalam kebakaran sebuah kereta di tepi jalan dekat Laluan Sri Kuang 3, Desa Lasi, di sini, lewat malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 11.46 malam.
Seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Khairuddin Hussein bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit selepas menerima panggilan.
Setiba di lokasi, bomba mendapati sebuah kereta telah terbakar 90 peratus dengan seorang mangsa rentung berada dalam kenderaan tersebut.
Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi itu tamat sepenuhnya pada pukul 2.00 pagi.