MARANG, 9 Jun - Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) maut dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Jalan Rawai, Kampung Bukit Damai, Bukit Payong, di sini malam tadi.
Kemalangan turut menyebabkan dua lagi mangsa cedera termasuk kanak-kanak empat tahun.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Md Dris berkata mangsa yang maut ialah Mohd Azman Mat Salleh, 43 tahun yang menunggang motorsikal jenis Honda Dash 125.
Seorang lagi mangsa, Mohamad Zulkifli Suparman, 32 tahun yang menaiki motosikal jenis Yamaha LC135 pula patah tangan dan kaki di sebelah kiri manakala anaknya Nur Ameena Sofia Mohamad Zulkifli empat tahun turut cedera.

"Kejadian dipercayai berlaku 9.45 malam tadi apabila Mohd Azman dari arah Rawai menghala ke arah Kampung Padang Limau manakala Mohd Zulkifli pula dari arah Kampung Padang Limau Nipis menghala ke arah Kampung Rawai.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, Mohd Azman telah memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan motorsikal yang ditunggang Zulkifli. Ekoran dari kemalangan tersebut mangsa yang tidak memakai topi keledar telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala Zulkifli serta anaknya yang mengalami kecederaan telah di bawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu bagi menerima rawatan," kata Mohd Zain.
Tambah Mohd Zain, jenazah Mohd Azman dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut.
kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.