fb fb fb fb fb

Dua kadet ALK terpilih sertai akademi ketenteraan di AS

(FOTO BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 9 Jun - Dua kadet muda dari Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Ummi Annur Syahmina Sohaini dan Muhammad Faidh Izzuddin Mat Sahari terpilih untuk melanjutkan pengajian di akademi ketenteraan berprestij di Amerika Syarikat (AS) tahun ini.

Ini sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan rakyat Malaysia yang menjalani latihan di akademi itu seramai lapan orang.

Ummi Annur Syahmina dari Port Dickson, Negeri Sembilan diterima masuk ke Akademi Tentera AS di Colorado, manakala Muhammad Faidh Izzuddin dari Kuala Lumpur diterima masuk ke Akademi Tentera AS di West Point, New York.

Duta AS ke Malaysia, Brian D. McFeeters berkata kedua-kedua kadet muda itu diumpamakan sebagai generasi yang mewakili masa depan, kemakmuran dan keselamatan bersama antara dua negara Malaysia dan AS.

(Duta AS ke Malaysia, Brian D. McFeeters)

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada kedua-dua kadet dan saya sangat berbangga dengan mereka. Ia adalah satu contoh ikatan keselamatan yang kami ada dengan Malaysia, menekankan hubungan sesama rakyat.

"Jadi kami hantar beberapa kadet setiap tahun itulah kemuncak program pertukaran iaitu penghantaran mereka untuk pengalaman 4 tahun," katanya pada sidang media selepas menyampaikan surat tawaran kemasukan di kediaman rasmi Duta AS, di sini, pada Khamis.

Tambah McFeeters, sejak tahun 1971 seramai 39 rakyat Malaysia telah menamatkan pengajian di Akademi Ketenteraan Amerika Syarikat dan Kadet Ummi merupakan wanita Malaysia ketiga yang diterima masuk.

Ummi Annur Syahmina yang akan berlepas ke AS pada 18 Jun ini akan menyambung Ijazah Sarjana Muda Penyelidikan Operasi dan Sains Data, manakala Muhammad Faidh Izzuddin pula akan berlepas pada 20 Jun ini untuk mengikuti kursus Kejuruteraan Elektrikal peringkat Ijazah Sarjana Muda .

Media Baharu