PUTRAJAYA, 9 Jun - Permohonan undi pos untuk pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dibuka mulai 15 Jun ini.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata permohonan undi pos bagi semua kategori iaitu Kategori 1A, 1B dan 1C boleh dibuat secara dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my.
Katanya, kategori 1A terdiri daripada petugas pilihan raya, anggota dan pegawai SPR serta petugas media manakala bagi kategori 1B pula adalah rakyat Malaysia yang tinggal di luar Negara dan kategori 1C iaitu agensi dan organisasi.

"Anggota polis dan tentera di bawah kategori 1A, kaedah permohonan undi pos dikekalkan secara manual menggunakan Borang 1A yang boleh dimuat turun dari portal https://www.spr.gov.my mulai tarikh sama," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, pemilih yang layak dan berhasrat untuk mengundi secara pos hendaklah mendaftar atau mempunyai akaun MySPR dan digalakkan mendaftar lebih awal bagi mengelakkan sebarang masalah.
"Tarikh tutup permohonan undi pos bagi Kategori 1A ialah tiga hari sebelum hari penamaan calon, Kategori 1B , tiga hari selepas mesyuarat khas manakala Kategori 1C, enam hari selepas mesyuarat khas," katanya.
Tambah Ikmalrudin, bagi penghantaran kertas undi pos kepada pengundi tidak hadir (PTH) luar legara, mereka perlu menghubungi SPR bagi menyemak alamat luar negara yang disimpan dalam rekod SPR serta mengemas kini alamat tersebut sekiranya telah berpindah atau telah kembali ke Malaysia.