fb fb fb fb fb

Lelaki mengaku tidak bersalah lempar batu pada bas pasukan Selangor

 (Tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan cuba melakukan khianat
melemparkan batu ke arah bas pasukan Selangor)

KUALA TERENGGANU, 24 November- Seorang penyokong bola sepak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas pertuduhan cuba melakukan khianat dengan melemparkan batu ke arah bas pasukan Selangor FC.

Tertuduh, Mohamad Hadi Wahab, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Hadi didakwa cuba melakukan khianat ke atas harta benda dengan melemparkan batu ke arah bas pasukan Selangor FC membabitkan kerugian kira-kira RM15,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di perkarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak jam 12.05 malam pada Selasa.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 511 (KK) kerana cuba melakukan khianat.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,500 dan menetapkan 26 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Khairi Mohamed Noor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tular melalui media sosial berlaku kekecohan di luar Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin selepas berakhir perlawanan membabitkan Terengganu FC dengan Selangor FC pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia pada Isnin lalu.

(Tertuduh, Mohamad Hadi Wahab, 27 tahun)

 

Artikel berkaitan: Buat kecoh, lima penyokong TFC direman

 

Media Baharu