fb fb fb fb fb

Lelaki maut, melecur 100% dalam kebakaran kondominium di Segambut

Foto FB Bomba Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 11 Disember - Seorang lelaki maut dalam kebakaran sebuah unit kediaman di tingkat 26 sebuah kondominium di Segambut di sini malam tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam satu kenyataan di laman Facebook hari ini memaklumkan, mangsa ditemukan di bahagian balkoni kondominium itu oleh pasukan penyelamat dalam keadaan melecur di seluruh badan.

"Mangsa, lelaki dewasa warganegara Malaysia berbangsa Cina berumur 38 tahun, disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi," menurut kenyataan itu.

PGO menerima panggilan kecemasan pada pukul 8:46 malam sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Hartamas, serta BBP Menjalara, Sentul dan Taman Tun Dr Ismail digerakkan ke lokasi kejadian.

"Operasi pemadaman dan penyelamatan dilaksanakan segera namun berdepan kesukaran ekoran sistem pencegah kebakaran bangunan tidak berfungsi dengan baik, sekali gus memaksa pasukan penyelamat menggunakan dua pam angkut serta pam jentera bagi menyalurkan air ke unit terlibat," menurut kenyataan itu lagi.

Api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 2:03 pagi dan kebakaran yang melibatkan kawasan seluas kira-kira 1,500 kaki persegi itu, musnah 100 peratus.

Punca kejadian masih disiasat.

EZA YUSMAWATI YAACOP