fb fb fb fb fb

Hospital TABTAR laksana rawatan 'Bleomycin Electrosclerotherapy' pertama di Malaysia

Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM (Hospital TABTAR) melaksanakan rawatan Bleomycin Electrosclerotherapy (BEST)

KUALA LUMPUR, 11 Disember - Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM (Hospital TABTAR) mencipta sejarah apabila menjadi hospital pertama di Malaysia melaksanakan rawatan Bleomycin Electrosclerotherapy (BEST), satu kaedah baharu dan lebih efektif untuk merawat vascular malformations.

Vascular malformations merupakan keadaan kelainan salur darah dan salur limfa sejak lahir yang boleh menyebabkan bengkak, kesakitan serta perubahan warna kulit kebiruan yang sering berlaku di muka, leher, tangan atau kaki dan boleh menjejaskan fungsi anggota serta keyakinan diri pesakit, khususnya kanak-kanak.

Sebelum ini, rawatan bagi keadaan tersebut melibatkan pembedahan, ubat-ubatan dan sclerotherapy tradisional yang lazimnya memerlukan sehingga lapan sesi rawatan, sekali gus meningkatkan keperluan bius am, pendedahan radiasi dan jumlah dos ubat digunakan.

Demi menangani isu tersebut, Unit Intervensi Radiologi, Jabatan Radiologi Hospital TABTAR memperkenalkan rawatan BEST, gabungan suntikan ubat Bleomycin bersama rangsangan elektrik yang meningkatkan keberkesanan ubat pada tisu tidak normal.

Menurut Hospital TABTAR, teknologi itu dapat memberikan hasil rawatan yang lebih baik dengan bilangan sesi yang jauh lebih sedikit, termasuk bagi kes besar atau kompleks.

Pada 3 dan 4 Disember lalu, pasukan intervensi radiologi yang diketuai Dr. Isa Azzaki Zainal dan Prof. Dr. Hamzaini Abdul Hamid berjaya merawat enam pesakit dari seluruh negara menggunakan teknologi BEST.

Kejayaan itu menjadikan TABTAR satu-satunya hospital di Malaysia yang menawarkan rawatan berkenaan pada masa ini.

Pencapaian bersejarah tersebut menjadi penanda aras penting dalam perkembangan rawatan intervensi di negara ini.

Selain membuktikan komitmen Hospital TABTAR untuk menyediakan perkhidmatan bertaraf dunia kepada pesakit pediatrik tanpa perlu mendapatkan rawatan di luar negara.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN