PETALING JAYA, 11 Disember - Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan negeri Kelantan dan Terengganu sehingga 12:00 tengah hari, Khamis.
MET Malaysia menerusi kenyataan memaklumkan kawasan yang terlibat di Kelantan, ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Machang dan Pasir Puteh.
Manakala di Terengganu, melibatkan beberapa kawasan di daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang.
"Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
"Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran", menurut MET Malaysia.