KUALA LUMPUR, 11 Disember - Jumlah penduduk terjejas banjir di Sarawak dan Perak yang masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) berkurangan pagi ini, berbanding semalam.
Di SARAWAK, sebanyak 140 orang terdiri daripada 136 penduduk terjejas banjir dan empat tanah runtuh ditempatkan di tiga PPS di Miri setakat pukul 8 pagi ini, berbanding 152 orang direkodkan semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan 109 penduduk terjejas banjir berada di Sekolah Kebangsaan (SK) Suai Niah manakala 23 lagi di SK Kampung Angus.
Selain itu, masing-masing empat penduduk terjejas banjir dan tanah runtuh ditempatkan di PPS Dewan Bulan Sabit Merah.
Di PERAK, sebanyak 83 orang masih berada di dua PPS di daerah Hilir Perak pagi ini, berbanding 111 orang semalam.
Sekretariat JPBN Perak memaklumkan PPS Dewan Serbaguna Kampung Padang Tembak menempatkan 52 penduduk terjejas manakala 31 orang di PPS Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.
Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan ribut di kesemua daerah di Perak petang ini kecuali Kerian, Manjung, Hilir Perak dan Bagan Datu.- BERNAMA