fb fb fb fb fb

PKS Terengganu sambut baik kenaikan ambang e-Invois

PKS sambut baik kenaikan ambang pengecualian e-Invois RM1 juta / Foto BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 11 Disember - Usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Terengganu menyambut baik pengecualian e-Invois yang dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta mulai 2026, bagi meringankan beban pematuhan dalam kalangan PKS.

Langkah tersebut diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini dengan ketetapan baharu jadual pelaksanaan, yang menyaksikan hasil tahunan syarikat berpendapatan RM1 juta hingga RM5 juta diwajibkan bermula 1 Januari 2026, diikuti syarikat berpendapatan RM500,000 hingga RM1 juta pada 1 Julai 2026.

Menurut reaksi Usahawan Perkhidmatan Pendidikan, Shahrurizuan Abd Rahman dan Usahawan Minuman dan Makanan, Che Engku Hanan Shakimi Che Engku Aabdul Aziz serta Iqlima Abu Bakar, ia sekali gus, memberi ruang masa untuk bersedia beralih ke sistem dan memperkemas pengurusan invois masing-masing.

"Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menaikkan ambang e-Invois kepada RM1 juta dianggap sangat positif, kerana ia memberi peluang kepada usahawan kecil untuk memperkemaskan sistem pengurusan invois dan sekali gus mengurangkan kemungkinan mereka dikenakan penalti," demikian menurut Shahrurizuan Abd Rahman.
 
"Alhamdulillah, saya rasa lebih lega kerana kini ada ruang untuk mengembangkan syarikat sebelum pelaksanaannya. Dengan kenaikan ambang kepada RM1 juta, kami boleh meningkatkan kapasiti syarikat dan bersedia sepenuhnya untuk menerima e-Invois," kata Che Engku Hanan Shakimi Che Engku Aabdul Aziz.
 
"Penangguhan e-Invois memberi peluang kepada usahawan kecil membuat persediaan lebih awal. Kami dapat melengkapkan sistem POS dan dokumentasi supaya pelaksanaannya nanti berjalan lancar, selain membantu menjimatkan kos pada peringkat ini," demikian menurut Iqlima Abu Bakar.

Dalam pada itu, kerajaan menyeru semua perniagaan memanfaatkan tempoh pengecualian itu untuk memperkemas sistem perakaunan, menyusun dokumentasi invois dan bersedia bagi pelaksanaan penuh e‑Invois 2026.

Langkah tersebut dijangka membantu PKS menyesuaikan diri dengan sistem digital, mengurangkan risiko penalti, dan menyokong pengurusan kewangan yang lebih sistematik.
 

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN