BINTULU, 13 September – Seorang lelaki berusia 23 tahun maut, manakala dua lagi cedera parah selepas enjin bot meletup dalam satu kejadian di sebuah bengkel kereta di Tatau, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Tatau, DSP Jame Reis dalam kenyataan media memaklumkan, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.00 petang ketika pemilik bengkel bersama tiga pekerjanya sedang menguji enjin bot bagi persediaan perlumbaan bot laju sempena Pesta Tatau 2025.
"Secara tiba-tiba, enjin bot berkenaan meletup dan serpihan terkena ketiga-tiga pekerja yang berada berhampiran", katanya menerusi kenyataan.
Mangsa yang maut dikejarkan ke Klinik Kesihatan Tatau, namun disahkan meninggal dunia, manakala dua lagi pekerja yang cedera parah dibawa ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut.
Menurut DSP Jame, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati letupan berlaku secara tiba-tiba semasa enjin diuji.
Siasatan awal mendapati insiden berkenaan adalah kemalangan tanpa unsur jenayah dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Bintulu untuk proses bedah siasat.