MERSING, 13 September - Nilai kemanusiaan tidak boleh diketepikan dalam usaha Kerajaan MADANI memperkasa ekonomi serta memperluas penggunaan teknologi tinggi dalam memastikan kemajuan negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara tidak akan mampu maju sekiranya terus bergantung kepada cara lama, sebaliknya memerlukan generasi muda yang memiliki kepintaran tinggi.
Pada masa sama syarikat yang mencatatkan keuntungan besar perlu memastikan kebajikan pekerja sentiasa terjamin, sejajar dengan prinsip keadilan dan ihsan.
"Jangan teknologi tinggi, tetapi manusia diabaikan. Kilang besar untung tinggi, tetapi pekerjanya diabaika yang juga menjejaskan akhlak.
"Negara MADANI mesti menegakkan keadilan, ihsan dan kasih sayang untuk menjamin keselamatan negara," katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi dialog interaktif di Perhimpunan Agung Pengakap Johor ke-27 di Pantai Tanjung Leman di sini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menekankan bahawa industri teknologi terkini memerlukan tenaga kerja muda yang berkemahiran tinggi dan berpendidikan.
Justeru, beliau menggesa golongan muda menumpukan perhatian kepada pembelajaran demi menjamin masa depan kerjaya mereka dalam bidang berkaitan.
