fb fb fb fb fb

Kesedaran remaja terhadap kesihatan reproduktif masih rendah - KPWKM

Foto FB Datuk Seri Nancy Shukri

KUCHING, 13 September- Tahap kesedaran remaja terhadap kesihatan reproduktif masih rendah dan perlu dipertingkatkan melalui kerjasama semua pihak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri memaklumkan bahawa ruang ilmu perlu dibuka agar masyarakat lebih terbuka dalam memberi pendidikan yang tepat kepada remaja.

Menurut beliau, kementeriannya terus memperkukuh pelaksanaan program intervensi termasuk ceramah dan program pendidikan di sekolah serta pusat aktiviti kanak-kanak.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Advokasi Kesihatan Reproduktif dan Sosial, PEKERTI Peringkat Negeri Sarawak dan Sentuhan Kasih: Khatan Beramai-ramai @ SK Gersik, Petra Jaya di Kuching, hari ini.

Tahun ini, kementerian menyasarkan sekurang-kurangnya 30 pusat aktiviti kanak-kanak dan 300 buah sekolah.

Tegasnya, pendidikan kesihatan reproduktif wajar didedahkan seawal peringkat sekolah menengah, bagi memberi panduan jelas tentang batasan dan risiko yang boleh berlaku sekiranya remaja terjebak dalam aktiviti seksual sebelum berumahtangga.

Sehubungan itu, lebih ramai pakar akan digembleng bagi memperluas kesedaran melibatkan pelajar, ibu bapa serta pemimpin masyarakat, di samping menyokong nilai kekeluargaan dan budaya yang sedia ada.

“Bagi saya memang masih di tahap rendah kerana kita kurang lagi memberi ilmu ini kepada mereka. Maka, ruang itu perlu dibuka. Maka, masyarakat juga perlu terbuka,” katanya.

Dalam majlis berkenaan, seramai 100 pelajar sekolah rendah sekitar Kuching menyertai Sentuhan Kasih: Khatan Beramai-ramai kali ini.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM