fb fb fb fb fb

Belia perlu tingkat literasi digital tangani risiko AI

Datuk Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 13 September - Golongan belia di negara ini disaran meningkatkan literasi digital serta keupayaan menilai maklumat bagi menghadapi cabaran teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin kompleks, termasuk isu 'deepfake' dan penipuan dalam talian.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkembangan pesat AI membawa banyak peluang, namun pada masa sama menimbulkan risiko baharu yang memerlukan kesedaran serta ketahanan digital dalam kalangan masyarakat, khususnya anak muda.

"Hanya kerana sesuatu muncul di TikTok atau Facebook, ia tidak semestinya benar. Belia perlu semak, nilai dan sahkan maklumat sebelum mempercayainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Keselamatan Dalam Talian Dalam Dunia AI sempena Youth’s Empowerment Fair di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di ibu negara hari ini.

Penyebaran kandungan 'deepfake' di beberapa negara serantau sebelum ini telah menjejaskan reputasi tokoh awam dan mencetuskan kekeliruan besar dalam kalangan rakyat, sekali gus membuktikan perlunya daya tahan siber yang lebih kukuh.

Datuk Fahmi turut menegaskan bahawa teknologi tidak boleh mengawal manusia, sebaliknya harus digunakan sebagai alat untuk meningkatkan kesejahteraan.

"Jangan jadi hamba AI. Gunakan ia sebagai alat dan sentiasa gunakan akal fikiran ketika membuat keputusan. Kita masih manusia, bukan robot," katanya.

Dalam pada itu, forum berkenaan turut menyentuh cadangan untuk melabelkan kandungan yang dijana AI sebagai langkah membantu pengguna mengenal pasti maklumat sahih, selain menekankan peranan belia mendidik keluarga dan masyarakat agar lebih berwaspada terhadap penipuan digital.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI