fb fb fb fb fb

Penduduk Kampung Sungai Baru tenang menanti keputusan mahkamah

Kampung Sungai Baru

KUALA LUMPUR, 13 September - Penduduk Kampung Sungai Baru kekal tenang menantikan keputusan mahkamah pada 3 Oktober depan susulan Projek Pembangunan Semula kawasan itu.

Seorang penduduk Noraida Haryani Mohd Yunus, 43 tahun berkata, keadaan ketika ini masih terkawal dan kebanyakan penduduk memilih untuk terus berada di rumah masing-masing.

"Buat masa ini, semua masih menunggu keputusan mahkamah pada 3 Oktober. Mana tahu ada sinar baharu. Penduduk berharap dapat kembali ke rumah masing-masing selepas itu.

"Pada hari kejadian pun tiada sebarang provokasi berlaku kerana kebanyakan yang tinggal adalah golongan warga emas," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Komuniti Kampung Sungai Baru, Dzulafian Idris, 51 tahun, yang merupakan antara penduduk yang telah menandatangani perjanjian dengan pihak pemaju berkata, mereka hanya mahu projek pembangunan itu diteruskan selepas lebih lapan tahun menunggu.

"Apa yang kami harapkan adalah pembangunan ini dapat disegerakan kerana kami telah memberi hak milik tanah. Walaupun terdapat kelewatan disebabkan proses mahkamah, kami tetap menunggu janji pemaju agar hak kami dikembalikan apabila projek ini siap kelak," jelasnya.

Penduduk yang sudah bersetuju dengan projek tersebut akur dengan perjalanan undang-undang, namun berharap pihak pemaju melaksanakan tanggungjawab dengan penuh kemanusiaan dan menepati janji yang dibuat.

Penduduk menyerahkan sepenuhnya kepada proses undang-undang dan menaruh harapan tinggi agar keputusan yang bakal diumumkan memberi manfaat kepada semua pihak.

Secara keseluruhannya, penduduk Kampung Sungai Baru kini menantikan keputusan mahkamah dengan harapan pembangunan yang dirancang dapat diteruskan tanpa menjejaskan hak mereka sebagai pemilik tanah.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI