fb fb fb fb fb

Kerajaan teliti akta pengkomputeran awan, lindungi kedaulatan data

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 September- Kerajaan sedang meneliti keperluan menggubal perundangan berkaitan pengkomputeran awan (cloud computing), termasuk aspek ‘cloud’ berdaulat (sovereign cloud) bagi melindungi keselamatan dan kedaulatan data negara.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah itu susulan kebimbangan terhadap perkembangan undang-undang di beberapa negara, termasuk Amerika Syarikat (AS) dengan pelaksanaan Cloud Act, yang berpotensi memberi kesan kepada data pengguna di seluruh dunia.

"Dari sudut tersebut, kita perlu meneliti aspek-aspek keselamatan yang wajar diterapkan dalam penggunaan pengkomputeran awan (cloud computing).

Langkah ini penting bagi memastikan data, khususnya yang bersifat sensitif dan terperingkat, sentiasa terpelihara serta selamat," kata Datuk Fahmi kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan ucaptama di Forum Keselamatan Dalam Talian Dalam Dunia AI sempena Youth’s Empowerment Fair di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini.

Beliau menegaskan, isu pemilikan data kini semakin kritikal kerana kebanyakan platform media sosial dan syarikat teknologi gergasi (Big Tech) berpusat di luar negara, sedangkan data pengguna termasuk maklumat peribadi, imej dan corak penggunaan platform disimpan serta dimiliki oleh syarikat tersebut.

“Kita tahu dalam banyak perkara, syarikat Big Tech memiliki data yang kita masukkan di platform mereka. Jadi, persoalannya siapa pemilik data ini perlu dibincangkan dengan lebih mendalam,” katanya.

Menurut Fahmi, kerajaan mahu merangka dasar yang bukan sahaja melindungi kepentingan semasa negara tetapi turut mengambil kira cabaran masa depan, khususnya dalam memastikan data sensitif tidak mudah diakses atau dikompromi oleh pihak luar.

Terdahulu, semasa berucap di forum berkenaan, Fahmi menegaskan keperluan Malaysia membangunkan cloud berdaulat (sovereign cloud) bagi menjamin kawalan sepenuhnya ke atas data sensitif negara, termasuk maklumat identiti warganegara dan dokumen rasmi kerajaan.

Menurutnya, langkah tersebut penting bagi mengelak data rakyat terdedah kepada undang-undang asing yang boleh memaksa syarikat teknologi menyerahkan maklumat apabila diminta.

“Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada platform luar. Kita perlu memberi perhatian serius terhadap data paling berharga negara, seperti maklumat MyKad, yang tidak boleh diletakkan sewenang-wenangnya.

Oleh itu, kerajaan sedang memperkukuh inisiatif seperti MyDigital ID, di samping meneliti pembangunan awan berdaulat,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan tentang bahaya eksploitasi talian prabayar oleh sindiket penipuan.

Mulai November ini, semua syarikat telekomunikasi diwajibkan menggunakan MyDigital ID untuk pendaftaran nombor prabayar bagi mengekang penyalahgunaan identiti.

"Seseorang individu boleh mendaftarkan sehingga 60 nombor telefon melalui pelbagai syarikat telekomunikasi.

Walaupun perkara ini tidak menjadi isu sekiranya digunakan untuk keperluan keluarga, namun ia membuka ruang yang besar kepada sindiket penipuan. Justeru, kawalan perlu dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Kempen Internet Selamat (KIS) anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menjelajah ke 2,611 sekolah di seluruh negara iaitu kira-kira 25 peratus daripada keseluruhan sekolah.

Selain itu, ia akan diperluas ke lebih 10,000 sekolah bagi meningkatkan kesedaran literasi digital dalam kalangan murid sekolah rendah, Gen Z dan Gen Alpha.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM