SHAH ALAM, 27 Mac- Seorang lelaki ditemukan lemas selepas dipercayai cuba menyelamatkan anaknya yang terjatuh ke dalam sungai ketika memancing di Kampung Bukit Jati, Klang, malam semalam.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 7.42 malam.
Menurutnya, mangsa yang berusia 40 tahun sedang memancing bersama anak lelakinya berusia 11 tahun sebelum insiden berlaku.
“Mangsa dipercayai bertindak terjun ke sungai bagi menyelamatkan anaknya. Kanak-kanak itu berjaya diselamatkan oleh orang awam dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Mayat mangsa ditemukan pada pukul 9 malam, kira-kira tiga meter dari lokasi dia dipercayai tenggelam. Operasi membawa naik mayat dijalankan oleh pasukan bomba yang bertugas,” katanya.
Operasi mencari dan menyelamat melibatkan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Klang Selatan.