fb fb fb fb fb

Program Singgah Sahur MBN Perlis rai petugas barisan hadapan

Foto Majlis Belia Negeri Perlis (MBNPs)

KANGAR, 27 Mac – Lebih 400 Perwira Negara disantuni Majlis Belia Negeri Perlis menerusi program Singgah Sahur, satu inisiatif menghargai jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan.

Menurut Presiden Majlis Belia Negeri Perlis (MBNPs), Jeffry Hassan, program ini dilaksanakan bagi membentuk kerjasama dan silaturahim sesama ahli Majlis Belia Negeri Perlis dan memupuk semangat patriotik kepada para belia.

Program yang disertai 25 orang Exco Majlis Belia Negeri Perlis menyantuni petugas di Jabatan Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah, Balai Polis Kangar dan Arau, Balai Bomba dan Penyelamat Kangar dan Arau serta 4 Rejimen Renjer Diraja Kem Oran.

Selain berpeluang menyampaikan juadah sahur kepada petugas barisan hadapan yang bertugas di waktu malam, program itu juga dapat mengeratkan hubungan pasukan terlibat dengan Majlis Belia Negeri Perlis.

Beliau memaklumkannya ketika mengetuai Konvoi Singgah Sahur Majlis Belia Negeri Perlis yang bermula di Hospital Tuanku Fauziah dan berakhir di Balai Bomba dan Penyelamat Arau.

Inisiatif Singgah Sahur yang dilaksanakan ini akan menjadi program tahunan Majlis Belia Negeri Perlis bagi menzahirkan penghargaan kepada petugas yang menyumbang kepada negara, di samping meraikan Ramadan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD