fb fb fb fb fb

Lelaki lemas ketika larikan diri daripada polis

Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik HRPZ II untuk dibedah siasat

BACHOK, 1 Februari - Tindakan seorang lelaki dipercayai penagih dadah melarikan diri daripada serbuan polis dengan terjun di Sungai Kemasin, Pengkalan Petah, di sini berakhir dengan tragedi apabila ditemui mati lemas, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata kejadian berlaku ketika anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Daerah melakukan Ops Tapis khas Se-Malaysia dan menyerbu sebuah jeti nelayan Pengkalan Petah petang semalam.

Beliau berkata, ketika serbuan dilakukan suspek bertindak melarikan diri dengan cara terjun ke sungai daripada bot nelayan yang dinaikinya dan cuba berenang ke tebing sungai sebelum dipercayai lemas.

Sehubungan itu, operasi mencari dan menyelamat telah dibuat dengan dibantu Pasukan Bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Daerah Bachok bagi mengesan mangsa.

"Mayat mangsa yang berusia 39 tahun itu ditemui kira-kira 10 meter dari lokasi kejadian berlaku Pengecaman mayat dibuat oleh abang mangsa dan hasil semakan mendapati,mangsa mempunyai enam rekod positif dan memiliki dadah," katanya dalam satu kenyataan.

Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik HRPZ II untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Mengulas lanjut, Mohamad Ismail berkata hasil serbuan itu pasukan BSJN berjaya menahan dua lelaki mengikut Sekyen 15(1)(a) dan 12(2) Akta Dadah Berbahaya dan 2 lagi tangkapan di Jeti Kemasin mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya.

Kesemua suspek telah dibawa ke IPD Bachok untuk tindakan lanjut.

TETITIA YUSOFF