KUALA LUMPUR, 1 Februari- Malaysia merekodkan lonjakan kemasukan pelancong dari China dan India pada bulan Disember 2023, masing-masing sebanyak 168,000 dan 84,000 orang.
Jumlah tersebut 35 peratus dan 65 peratus lebih tinggi bagi pelancong dari China dan India berbanding bulan sebelumnya.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata statistik itu didorong langkah pengecualian visa pelancong dari kedua negara itu yang bermula pada 1 Disember lalu.
Justeru beliau optimis jumlah pelancong China mampu mencecah tujuh juta orang tahun ini, selain sasaran satu juta pelancong segmen mesra Muslim.
"Sejak program pengecualian visa bermula 1 Disember lalu, kita ada setahun lagi untuk letak sasaran pelancong dari China daripada lima juta kepada tujuh juta. Segmen mesra Muslim pula kita jangka lebih daripada satu juta akan masuk ke Malaysia,"katanya.
Datuk Seri Tiong King Sing berucap pada majlis makan malam tahun baharu Cina anjuran Persatuan Penggalakan Pelancongan Inbound China Malaysia (MICA) di ibu negara.