SEPANGGAR, 1 Februari- Seorang lelaki yang mendaki di Bukit Botak@Bonduk, sini, Sabah, terpaksa mendapatkan bantuan bomba untuk dibawa turun kerana mengalami sesak nafas, semalam.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada pukul 11.11 pagi sebelum 13 anggota bersama jentera FRT dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Asama Saruddin berkata, seorang lelaki yang mempunyai berat badan lebih kurang 113 kilogram telah mengalami sesak nafas dan mempunyai sejarah menghidap penyakit asma.
Mangsa, 30, kemudian diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS di lokasi kejadian.
Bagaimanapun, setelah di bawa turun, mangsa memberitahu tidak mahu dibawa ke hospital.
Sehubungan itu, pasukan EMRS bertindak menghantar mangsa ke tempat kediamannya.
Operasi berkenaan ditamatkan pada pukul 1.45 tengah hari setelah bomba memastikan tiada lagi unsur bahaya.