JITRA, 21 Februari - Lelaki yang kisahnya tular mengumpul dana untuk membiayai kos pembedahan memasang implan tempurung kepalanya akan menjalani pembedahan tersebut pada 25 Februari ini.
Pembedahan Muhammad Sufi Abdul Aziz 36, sepatutnya pada 9 Mac depan dan prosedur itu telah dipercepatkan.
Beliau menzahirkan rasa syukur dan terharu atas keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi sumbangan sebanyak RM15,000 untuk pembedahan serta terhadap masyarakat yang banyak menempah daging salai dan berazam untuk memperkembangkan perniagaan itu kelak.
"Resepi "Mat Salleh Smoke" saya buat sendiri di rumah dan masak. Dengan sokongan dariapada rakan-rakan saya akan teruskan perniagaan ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Jitra Indah.
Buat masa ini beliau terpaksa menghentikan tempahan daging salai yang banyak daripada orang ramai selepas dimaklumkan pembedahan pemasangan berkenaan dijadualkan semula di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.
Terdahulu beliau menerima menerima kunjungan Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Mohammed Taufiq Johari yang turut menghulurkan sumbangan RM5,000 selain barangan keperluan harian.
"Saya bersama pasukan saya turut menyampaikan sedikit sumbangan untuk menampung kos-kos lain, kita akan terus berhubung untuk melihat apa lagi yang diperlukannya selepas rawatan," kata Dr Taufiq.