fb fb fb fb fb

Lelaki hina Agong berkaitan pelantikan Perdana Menteri direman tiga hari

KUALA LUMPUR, 16 Disember- Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan terhadap satu hantaran di laman Facebook yang berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong berkaitan pelantikan Perdana Menteri ke-10 Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, lelaki berusia 33 tahun itu direman selama tiga hari ini bermula hari ini selepas ditahan semalam oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak.


(Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin / Foto Bernama) 

Jelasnya, satu laporan diterima berhubung kenyataan berkenaan yang dimuat naik menerusi akaun Facebook menggunakan nama ‘As Bul’ dan siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), D5 Bukit Aman.

Turut dirampas satu telefon bimbit jenama Vivo serta kad sim yang dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan yang berkecenderungan menghasut dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin turut mengingatkan orang ramai supaya menjadi pengguna media sosial yang berhemah dan tidak menggunakan platform media sosial untuk membangkitkan kegusaran dan kebencian yang boleh menggugat keharmonian negara.

Media Baharu