fb fb fb fb fb

KPDN lancar 'Ops Terjah' untuk periksa masalah bekalan, harga barangan asas

KUALA LUMPUR, 16 Disember- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan pemeriksaan berkaitan masalah bekalan dan isu harga barangan asas yang dihadapi rakyat ketika ini dalam tempoh sebulan di seluruh negara menerusi Ops Terjah.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata Ops Terjah antara lain memeriksa dan memantau masalah di premis seperti pasar awam, pasar mini, kedai runcit, gerai penjaja kecil dan kedai makan.


(Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub)

Katanya, pelaksanaan Ops Terjah juga bertujuan mengenal pasti zon atau kawasan yang terjejas dengan bekalan dan harga mengikut tahap keseriusannya serta mencari punca utama terhadap isu rantaian bekalan dan harga barangan keperluan asas yang melanda di negara ini.

"Menjadi tanggungjawab KPDN supaya ianya dapat stabil di pasaran di samping meninjau tentang harga yang pastinya kita mahukan rakyat membeli dengan harga yang berpatutan. KPDN mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk kita mendukung aspirasi perdana menteri untuk sama-sama mengatasi isu kos sara hidup rakyat," katanya pada sidang media Pelancaran Ops Terjah KPDN selepas membuat tinjauan dan pemeriksaan premis di sekitar kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Ops Terjah itu melibatkan 2,200 pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara yang akan melaporkan situasi sebenar kedudukan bekalan dan harga barangan asas.

Jelasnya, KPDN juga akan mempertingkatkan keberadaan anggota penguat kuasa di lokasi tumpuan pengguna termasuk
menggunakan Van Skuad Tindakan Aduan dan Resolusi Pengguna (STAR) serta kereta peronda bagi mewujudkan persekitaran perniagaan dan beli-belah yang beretika.

Beliau juga berkata kementeriannya juga akan mengoptimumkan pengoperasian Bilik Gerakan KPDN bagi memastikan kepentingan dan aduan pengguna dapat ditangani segera.

Pengguna yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada KPDN melalui Portal Aduan e-aduan.kpdnhep.gov.my

Media Baharu