fb fb fb fb fb

11 jasad mangsa tanah runtuh tiba di Hospital Sg Buloh untuk proses pengecaman

SUNGAI BULOH, 16 Disember- 11 jasad mangsa tragedi tanah runtuh berhampiran Father's Organic Farm, Batang Kali telah tiba di Unit Forensik Hospital Sungai Buloh, setakat pukul 5.00 petang tadi.

Tujuh lagi sedang dibawa untuk proses pengecaman mayat dan post-mortem.

Jelas Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa setakat ini kesemua jasad mangsa masih belum dikenal pasti sehingga arahan bedah siasat daripada pihak polis dikeluarkan.

"Setakat ini, kami telah menerima 11 mayat sejak tengah hari tadi. Identiti kesemua mayat belum dikenal pasti dan kami masih menunggu arahan bedah siasat daripada pihak polis, kemudian kita akan teruskan proses selanjutnya," kata Dr. Mazliha kepada pemberita RTM di Hospital Sungai Buloh.

Lapan pasukan perubatan forensik akan ditugaskan bagi mempercepat proses bedah siasat.

Khidmat kaunseling dan proses 'antemortem' turut dijalankan bersama keluarga mangsa bagi mempercepat pengecaman dan penyerahan mayat kepada waris mangsa setelah selesai bedah siasat kelak.

Setakat ini, jumlah mangsa yang meninggal dunia akibat tragedi itu meningkat kepada 18 orang.

Mayat mangsa ke 17 dan 18 itu ditemui di Sektor C (Riverside) dalam keadaan berpelukan dipercayai pasangan ibu dan anak perempuan berusia lingkungan tiga tahun.


(Foto Ihsan Bomba)

Media Baharu