IPOH, 25 Jun-Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai membunuh teman wanitanya dengan memukul mangsa menggunakan batang penyapu di sebuah rumah kedai di Taman Song Choon di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan menerusi kenyataan berkata, maklumat awal berhubung kejadian diterima pada pukul 4.34 pagi.
Katanya, mangsa ditemui terbaring di atas katil dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan Hospital Raja Permaisuri
Bainun (HRPB) Ipoh.
Beliau turut memaklumkan pihak polis turut menahan tiga individu lain berusia 29 hingga 65 tahun yang berada di tempat kejadian.
Katanya, siasatan mendapati pasangan kekasih tersebut tinggal di tingkat atas rumah kedai itu bersama bayi lelaki mereka berusia lapan bulan.
Hasil ujian saringan air kencing mendapati teman lelaki mangsa positif dadah jenis Methamphetamine.
Kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 1 Julai depan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
(FOTO RTM)