REMBAU, 25 Jun- Sebanyak 180 buah motosikal berkuasa tinggi menyertai Program Konvoi Madani Jejak Raja Melewar anjuran PersatuanĀ Kebajikan Zuriat Keturunan Pusaka Bentan Malaysia.
Menurut Presiden dan Pengasas Persatuan Kebajikan Zuriat Keturunan Pusaka Bentan Malaysia, Datuk Nazri Kamal pengisian program dapat memberi pendedahan kepada peserta mengenai institusi sistem beraja di Negeri Sembilan, di samping dapat memberi pengalaman menarik buat peserta.
"Tujuan program konvoi ini untuk memberi pendedahan dan pengetahuan kepada para peserta. Kita bukan sahaja disertai 'bikers' dari dalam negara, ada juga dari Singapura dan Indonesia, maka mereka boleh belajar dan mengetahui tentang adat dan resam Negeri Sembilan ini terutama mengenai Adat Perpatih," katanya.
(Presiden dan Pengasas Persatuan Kebajikan Zuriat Keturunan Pusaka Bentan Malaysia, Datuk Nazri Kamal)
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Konvoi Madani Jejak Raja Melewar di Muzium Astana Raja, Rembau.
Dalam pada itu peserta dari luar negara turut menyambut baik program yang dianjurkan.
"Saya melihat program ini sangat positif ya, pertama kita boleh bersilaturahim tiga negara antara Malaysia, Singapura dan Indonesia dengan hobi yang sama iaitu permotoran dapat berkumpul di satu tempat, di sini untuk mengenali sejarah dan kebudayaan yang masih utuh dan kita boleh belajar masa lalu," kata peserta dari Indonesia, Hasan Aminudin.
"Alhamdulillah, jadi kita dapat tahu tentang sejarah di Negeri Sembilan , mengenai Raja- raja Melayu yang kami di Singapura tidak begitu memahami tentang sejarah di sini," kata peserta Singapura, jasni Yusoff.