fb fb fb fb fb

USS Ronald Reagan tiba di Vietnam

(South Korean Defence Ministry/AFP)

DANANG, 25 Jun- Sebuah kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat (AS) tiba di bandar Danang tengah Vietnam, beberapa minggu selepas Hanoi membantah kapal China belayar di perairannya.

Kapal USS Ronald Reagan tiba di Danang ketika AS dan Vietnam meraikan ulang tahun ke-10 "perkongsian komprehensif" mereka, dengan kedua-dua negara berkongsi hubungan perdagangan yang semakin rapat.

Sebelum ini sebuah kapal peninjau, beberapa kapal pengawal pantai dan bot nelayan China beroperasi selama beberapa minggu di zon ekonomi eksklusif Vietnam di Laut China Selatan, sebelum meninggalkan kawasan perairan itu pada awal bulan Jun.

"Lawatan itu memberikan mesej bahawa Vietnam terus mengimbangi ancaman China dengan meningkatkan hubungan keselamatannya dengan AS, dan dengan kuasa luar yang lain," Nguyen The Phuong, calon PhD dalam keselamatan maritim di Universiti New South Wales Canberra, memberitahu AFP.

Lawatan kapal pengangkut pesawat AS itu susulan ketibaan kapal tentera laut India di Danang bulan lalu dan persinggahan kapal perang terbesar Jepun di Cam Ranh, sebuah bandar di pantai tenggara, awal minggu ini.

Jurucakap Kementerian Luar Vietnam, Pham Thu Hang
berkata awal minggu ini bahawa persinggahan di pelabuhan adalah "pertukaran persahabatan biasa untuk keamanan, kestabilan, dan kerjasama serta pembangunan di rantau ini dan dunia".

Hubungan dua hala yang kukuh antara AS dengan Vietnam adalah kunci bagi Washington jika ia mahu kekal sebagai kuasa dominan di rantau ini, kata Phuong.

"AS berharap dengan menghantar salah satu aset tentera laut paling hebat, mereka akan mempunyai rakan kongsi yang dipercayai dan boleh dipercayai di Vietnam," katanya.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken membuat lawatan singkat ke Hanoi pada bulan April dan menyatakan dengan jelas bahawa beliau mahu meningkatkan hubungan diplomatik.

Ini adalah lawatan ketiga kapal pengangkut pesawat AS ke Vietnam selepas persinggahan bersejarah oleh USS Carl Vinson pada 2018, persinggahan pertama kapal seumpama itu sejak perang tamat.

Lawatan itu diisi dengan beberapa acara kebudayaan dan komuniti, seperti konsert pancaragam Tentera Laut AS, lawatan ke rumah anak yatim dan acara sukan.-AFP

(USS Ronald Reagan, kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear kelas NimitzĀ Tentera
Laut AS, berlabuh di pelabuhan Da Nang, Vietnam/AFP)

Media Baharu