fb fb fb fb fb

Lelaki dikhuatiri lemas, terjun sungai lari daripada polis

Operasi SAR mangsa memasuki hari kedua dan sehingga jam 3 petang mangsa masih belum ditemui./ Foto: PDRM

BERA, 31 Mei- Seorang pemuda dipercayai menghisap dadah dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjun ke dalam Sungai Pahang ketika melarikan diri dalam satu serbuan polis di Kampung Serendang dekat Charuk Putting, Bera, semalam.
 
Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir dalam satu kenyataan memaklumkan, semasa kejadian mangsa berusia 25 tahun bersama dua rakannya berada di sebuah rumah rakit.

Beliau memaklumkan seorang rakan mangsa selamat dan seorang lagi telah ditahan pihak polis.

"Salah seorang adik-beradik mangsa telah menerima panggilan telefon daripada rakan mangsa mengenai kejadian itu kira-kira jam 10 pagi.

"Pengadu iaitu bapa mangsa kemudiannya membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut," katanya.

Menurut Zulkiflee operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua dan sehingga jam 3 petang mangsa masih belum ditemui.

ZEHRA BINTI ZAMBRI