fb fb fb fb fb

China setuju pengecualian visa pelancong Malaysia kepada 30 hari

Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membuat kunjungan hormat terhadap TYT Ding Xuexiang, Vice Premier of China di Rumah Tamu Diaoyutai, Beijing pagi tadi/Foto TPM

BEIJING, 31 Mei - China bersetuju melanjutkan tempoh pengecualian visa pelancong Malaysia dari 15 kepada 30 hari.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata persetujuan itu dicapai ketika kunjungan hormat beliau ke atas Perdana Menteri China, Li Qiang, pada Rabu lalu.

"Hasil pertemuan bersama perdana menteri Li Qiang telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh pelancong Malaysia dari 15 hari kepada 30 hari secara percuma.

"Pelaksanaan akan dibuat selepas perjanjian mengenai perkara ini ditandatangani ketika kunjungan Qiang ke Malaysia bulan hadapan," katanya.

Ahmad Zahid mengumumkan perkara itu ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China di Rumah Tamu Negara Diaoyutai di pagi tadi di Beijing, China.

Timbalan Perdana Menteri China, Ding Xuexiang turut sama meraikan sambutan gilang gemilang berkenaan.

Sementara itu, Ahmad Zahid menyatakan kerjasama Kuala Lumpur-Beijing kini melangkaui politik dan ekonomi.

Katanya, masih terdapat peluang bagi kedua-dua negara untuk mengembangkan hubungan yang sangat baik ini.

Manakala Xuexiang menyatakan, hubungan Malaysia-China semakin mengukuh menerusi perkongsian rakyat kepada rakyat.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan pertemuan empat mata dengan rakan sejawatan dari China, Ding Xuexiang di Beijing.

Kunjungan tersebut berlangsung di Rumah Tamu Negara Diaoyutai bersempena lawatan rasmi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid ke China yang bermula 22 Mei lalu.

Pertemuan kira-kira 45 minit itu amat bermakna dan dimanfaatkan kedua-dua pemimpin bagi memperkukuhkan lagi kerjasama dua hala seiring genap 50 tahun ulang tahun hubungan Malaysia-China.

"Dalam kunjungan ini, kami bertekad dan berazam untuk meneruskan warisan pemimpin terdahulu yang telah memperjuangkan hubungan yang saling menguntungkan negara kita."

"Semangat persahabatan yang telah terjalin selama setengah abad ini harus disuburkan dan dipertahankan ke generasi seterusnya."

"Kerjasama yang rapat di pelbagai bidang seperti perdagangan, pendidikan dan kebudayaan antara Malaysia dan China membuka peluang baru untuk kemajuan bersama," kata Zahid dalam kenyataannya di Facebook.

GRACE AISYAH KEDAYAN