fb fb fb fb fb

Baucar buku akan diagih berperingkat

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir

PUTRAJAYA, 31 Mei- Baucar buku bernilai RM100 akan diagihkan kepada 1.2 juta penuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) secara berperingkat bermula hari ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata pelaksanaanya dikhususkan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 yang kini sedang berlangsung.

“Perkara itu (pemberian baucar buku) diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, maka menjadi kewajipan kita (KPT) untuk mencari pendekatan bagaimana dapat dilaksanakan dalam tempoh ditetapkan. Perdana Menteri mahu supaya ia dimulakan petang ini,” katanya.

"Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Datuk Seri Dr Zaini Ujang telah mengadakan mesyuarat di peringkat pegawai dan beliau akan mengumumkan apakah pendekatan atau langkah-langkah yang kita akan perkenalkan bagi membolehkan pelaksanaan itu disegerakan dan akan dibuat secara berperingkat. Tetapi khusus dalam tempoh dua ke tiga hari ini sempena Pesta Buku Antarabangsa yang diadakan.

"Yang lain itu boleh dilaksanakan di peringkat universiti, politeknik dan sebagainya", katanya kepada media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Putrajaya.

Beliau turut mengingatkan penerima untuk tidak menyalahgunakan sumbangan berkenaan.

Semalam, Anwar dilaporkan mengumumkan pemberian baucar buku RM100 kepada golongan pelajar bermula petang ini, membabitkan murid tahun empat dan ke atas, pelajar sekolah menengah, penuntut institusi pendidikan tinggi serta Institusi Pendidikan Guru.

ROSLINA BINTI DIN