fb fb fb fb fb

Pengecualian subsidi diesel di Sabah-Sarawak bukan dasar pilih kasih - Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Penutup Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Penampang hari ini/Foto PMO

PENAMPANG, 31 Mei- Keputusan Kerajaan Persekutuan mengecualikan Sabah dan Sarawak daripada penyasaran subsidi diesel bukan disebabkan permintaan kerajaan negeri, kata Perdana Menteri.

Sebaliknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu berdasarkan keperluan rakyat Sabah dan Sarawak yang menggunakan bahan api itu lebih meluas berbanding di Semenanjung.

“Penggunaaan diesel di Sarawak dan Sabah lebih meluas berbanding di Semenanjung. Dasar ini tidak pilih kasih, bukan kerana atas faktor politik di Sabah Sarawak.

"Penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan ketika ini dan pelarasan tarif elektrik pada tahun lalu berjaya menjimatkan kira-kira RM8 bilion nilai subsidi diberikan kerajaan dalam tempoh setahun.

“Jadi, selama ini, RM8 bilion kita sedekah atau subsidi kepada orang kaya dan orang asing. Sekarang, bila kita hentikan, kita selamatkan (wang kerajaan)," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Penutupan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di sini, hari ini.

Anwar tiba di Kota Kinabalu lewat malam tadi dan meneruskan lawatan kerja setengah hari ke Labuan hari ini.

Beliau dijadualkan untuk menghadiri Sesi Taklimat Pembuktian Konsep (POC) Labuan Smart City di Wisma Perbadanan Labuan, melawat Terminal RORO Feri Kenderaan dan Sesi Santai Komuniti bagi menyantuni penduduk di kawasan itu, sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.

GRACE AISYAH KEDAYAN