MARUDI, 5 Oktober - Seorang lelaki berusia 56 tahun cedera ringan selepas kenderaan dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 20 meter di Jalan Marudi-Miri, di sini, petang semalam.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.28 malam.
“Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi menggerakkan empat anggota bersama satu jentera jenis Triton ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 20 kilometer dari balai.
“Sebaik tiba di lokasi pada pukul 7.48 malam, pasukan bomba mendapati sebuah kenderaan telah terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 20 meter,” menurut kenyataan itu.
PGO berkata, mangsa yang juga pemandu kenderaan berkenaan berjaya keluar sendiri sebelum ketibaan pasukan bomba, dan kemudiannya dibantu untuk naik semula ke jalan utama serta dibawa ke kawasan selamat.
“Mangsa hanya mengalami cedera ringan dan telah dibawa pulang oleh ahli keluarganya,” katanya.
Operasi diketuai Penguasa Bomba Kanan II Kebing Ngau dan ditamatkan sepenuhnya pada pukul 7.51 malam.